Dalam persekitaran kita ni mungkin ada saja terjumpa kenalan, ahli keluarga atau jiran-jiran yang masih belum berkahwin walaupun sudah berusia lebih 30 tahun. Bagi yang lelaki, mungkin tiada masalah besar. Namun bagi wanita, ia sedikit sebanyak memberi kesan yang kadang-kadang kita pun tak sedar.

Semakin lewat seorang wanita berkahwin, semakin kurang tahap kesuburan untuk mendapatkan zuriat. Begitulah dari sudut perubatan. Dari sudut mulut orang pula, kadangkala tu memang menyakitkan hati. Tapi, mereka hanya bercakap sesuka hati mereka sahaja sedangkan sebenarnya ada sebab tersendiri mengapa empunya diri belum berkahwin lagi.

Jom kami kongsikan antara 7 sebab kenapa wanita belum berkahwin walaupun sudah berusia 30an.

1. Pernah kecewa dan masih belum move on

Ini antara sebab besarnya iaitu dulu pernah bercinta, pernah bertunang dan mungkin sudah sampai ke tahap beberapa bulan lagi nak berkahwin tapi segalanya musnah atas beberapa sebab. Antara sebabnya adalah pasangan curang, pasangan ‘ghosting’ (menghilangkan diri tanpa khabar), banyak benda kita dah berikan tapi rupa-rupanya dipermainkan dan banyak lagi lah sebabnya. Sakit, perit, kecewa dan susah sangat nak melepaskan semua yang berlaku dulu memberi kesan sampai sekarang.

2. Belum jumpa seseorang yang mampu membuka pintu hati

Mungkin ada saja ‘berkawan’ dengan beberapa orang calon, tapi semuanya tak melekat. Semuanya sekadar singgah, ketuk pintu hati tapi tak berjaya pun buka pintu hatinya. Kenapa jadi macam tu ya?

Adakah sebab terlalu memilih yang sempurna? Adakah sebab terlalu berpegang pada kriteria yang telah ditetapkan? Please kita berkahwin dengan manusia, tak ada yang sempurna. Tapi mampu melengkapi diri kita yang juga punya kekurangan itu.

3. Sibuk dengan kejaya

Belajar sampai peringkat ijazah sarjana muda, master dan mungkin ke tahap PhD. Apabila sudah dapat kerjaya yang sangat bagus dan memerlukan komitmen terhadap kerja, memang tak sempat nak fikir tentang perkahwinan. Daripada perkataan ‘biarlah dulu’ masa usia 25 tahun dulu, sedar tak sedar usia dah hampir 40 tahun. Pada tahap ini, mungkin kerjaya sudah sangat stabil dan terlalu sayang untuk melepaskannya andai kata suami minta tinggalkannya kelak.

4. Selesa dengan hidup sekarang yang sudah ada serba serbi

Di usia 30-an, kebiasaannya individu lelaki ataupun wanita sudah mula stabil dari segi kerjaya, ekonomi dan minda. Aset seperti kereta, rumah dan simpanan sudah mula banyak. Dulu mungkin teringin nak berkahwin, tapi selepas memiliki kestabilan dalam banyak sudut, rasa macam kurang berminat untuk menjadi seorang isteri. “Risau juga kalau salah pilih suami, habis semua harta benda yang dah dikumpul sekian lama”. Betul tak?

5. Terlalu banyak dengar masalah rumah tangga orang lain, takut jadi kepada diri sendiri

Zaman canggih dan segalanya di hujung jari ni kadang-kadang kurang bagus juga jika kita tak mahu tapis. Banyak info yang kita mudah dapat terutamanya kisah realiti hidup suami isteri, kisah isteri kena pukul sampai mati, suami curang dalam rumah sendiri dan sebagainya. Apabila terlalu banyak isu – isu macam ini masuk dalam minda, kita akan menjadi sangat sensitif dan menolak untuk berkahwin. Apa kata banyakkan mendengar kisah-kisah indah perkahwinan, kisah Nabi Saw dan para isterinya dan kisah-kisah kebahagiaan keluarga dengan kejayaan membesarkan anak – anak. Jangan biarkan perkara negatif masuk dalam otak kita, kesannya memang sangat tidak baik.

6. Komitmen menjaga mak ayah yang kurang sihat dan juga adik-adik masih belajar

Ini antara perkara yang sangat benar. Ada kenalan penulis yang sanggup berkorban perasaan untuk berkahwin kerana risau setelah berkahwin, komitmen untuk menjaga ibu ayah yang sakit tak dapat ditunaikan. Adik-adik pula masih bersekolah dan fasa universiti. Semuanya memerlukan wang dan perhatian. Kebimbangan dalam pembahagian komitmen selepas berkahwin menjadi penghalang untuk teruskan niat berumah tangga ini.

7. Belum sedia nak menjadi isteri dan terikat

Menjadi seorang isteri bukanlah mudah. Tanggungjawab seorang isteri juga berat, menjadi pendokong buat suami, menjaga perut suami, menjaga hati dan perasaan suami, sentiasa ada di rumah untuk anak-anak dan banyak lagi. Kebanyakan wanita berkerjaya sangat tidak suka dengan masa dan hidup yang terikat, mereka lebih selesa untuk bebas keluar bertemu pelanggan, kawan-kawan dan ke mana sahaja tanpa perlu memikirkan emosi dan keizinan seorang lelaki. 

Jadi, setiap orang ada alasan yang tersendiri mengapa belum berkahwin di usia 30an. Bukan tak nak cari jodoh atau mengejar bahagia bersama pasangan, tapi keadaan juga selalu memainkan peranan.

Banyakkan berdoa agar segala urusan dipermudahkan. Semoga bertemu jodoh yang terbaik! Semoga anda menjadi isteri yang solehah kelak.

Penulis : Saiful