Seorang lelaki juga mengimpikan sebuah rumah tangga yang aman harmoni, dihiasi dengan seorang wanita solehah yang memahami dan menenangkan serta anak-anak penyejuk hati. Merekalah tempat seorang lelaki mencurahkan kasih sayang, tempat untuk mengadu dan berkongsi kebahagiaan.

Seorang lelaki yang bergelar suami sangat mendambakan seorang isteri yang menghormati dirinya.

Apakah kepentingan menghormati suami? Jom kita baca perkongsian ini.

1.Suami merupakan ketua keluarga

Allah telah menetapkan bahawa suami adalah ketua keluarga. Isteri seharusnya menghormati suami dengan baik agar anak-anak juga akan turut ikut. Jika isteri gagal menghormati suami, anak juga mungkin akan ada yang mencontohinya. Jadi, di mana peranan ketua keluarga tersebut? Hilanglah kewibawaan seorang ketua jika anak buahnya tidak mahu mengikutnya.

2.Suami merupakan pemberi nafkah

Suami merupakan pemberi nafkah dalam keluarga. Biarpun gaji isteri lebih besar daripada suami, hak pemberi nafkah tetap jatuh pada suami. Jadi, isteri tetap perlu menghormati suami seperti yang ditetapkan dalam Islam. 

3.Suami telah memilih kamu untuk menjadi pendamping setianya

Isteri adalah orang yang dipilih oleh suami untuk menjadi pendamping dirinya. Suami berhak untuk memilih siapa bakal ibu kepada anak-anaknya. Jika anda sudah menjadi isteri, hormatilah suami anda kerana tidak semua orang mempunyai suami. Banyak sangat pahala yang boleh diperoleh di rumah semasa bersama suami. Bersyukurlah kerana anda juga telah dipilih oleh Allah swt untuk berjodoh dengan suami. Pasti ada sesuatu perancangan dari Dia Yang Maha Tahu.

4.Suami memerlukan sahabat, isteri, pendokong, tongkat dan tulang belakang

Pernah dengar kan “Di sebalik kejayaan lelaki, pasti ada seorang wanita di belakangnya”. Ia boleh jadi ibunya ataupun isterinya. Suami bukanlah terlalu kuat untuk semua perkara. Namun, dengan adanya individu hebat yang selalu memberi semangat, selalu menitipkan doa dan menjadi pendengar setia lah yang menjadikan seorang lelaki itu berjaya.

5.Jika suami dihormati, isteri disayangi, rumah tangga aman bahagia

Sebuah keluarga memang perlu ada ketua dan pembantu untuk mengurus ahlinya. Jika rasa hormat suami itu wujud, suami akan terus menyayangi isterinya seterusnya anak-anak juga dapat dididik dengan baik.

Begitulah, banyak lagi kepentingannya. Tapi cukup 5 dahulu. Buat suami, jadilah suami yang baik. Buat isteri, hormatilah suamimu. Semoga balasan syurga buatmu.

Moga segalanya dipermudahkan.

Penulis : Saiful