Seoul:- Seramai sekurang-kurangnya 150 maut manakala 78 lagi cedera akibat serangan jantung, sesak nafas akibat rempuhan ketika pesta Halloween di daerah Itaewon, Korea itu berlaku. Manakala pihak berkuasa Seoul melaporkan menerima lebih 355 laporan individu hilang dipercayai menjadi mangsa tragedi rempuhan yang berlaku di Itaewon tersebut.

Menerusi laporan Yonhap, pihak berkuasa Seoul, menerusi satu kenyataan berkata siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti senarai mangsa yang hilang. 

 

Bagi yang tidak mengetahui, Itaewon di Seoul, Korea Selatan memang sering menjadi “tuan rumah” bagi acara sambutan Halloween sejak sekian lama. Namun, sejak pandemik Covid 19 melanda hampir seluruh dunia, acara itu telah ditunda dan acara itu amat dinanti oleh penggemarnya. 

Sebagai sebuah destinasi yang amat popular dengan sambutan itu, para pengujung dari dalam serta luar Seoul, bahkan para pengujung dari luar negara amat teruja dengan pesta itu. Sambutan Halloween pada kali ini mendapat sambutan yang baik dan “luar biasa” kerana segala peraturan ketat yang sebelum ini dilaksanakan telah dilonggarkan oleh pihak bertanggungjawab. 

Perlu anda ketahui:-

  1. Bandar yang padat
  2. Kebanyakan mangsa berusia 20an
  3. Serangan jantung punca kematian
  4. Jumlah mangsa mungkin bertambah
  5. Warga asing turut terbunuh 
  6. Ribuan petugas kecemasan dan keselamatan dihantar ke lokasi kejadian

  1. Seperti yang kita tahu, populasi di Bandaraya Seoul sendiri sudah padat dengan 10 juta orang. Tanpa sebarang acara keramaian pun, penduduk tempatan sedar dengan kesesakan harian. Di tambah pula dengan anjuran aktiviti keramaian seperti Halloween ini, menambahkan lagi kesesakan dengan ramai orang luar tiba ke kota itu dan memenuhi segala penjuru di kota itu baik di kawasan utama, lorong jalanan yang luas, lorong-lorong sempit dan disekitarnya.
  2. Dianggarkan seramai 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk sama-sama menyambut hari Halloween yang diadakan secara besar-besaran di kawasan terbuka. Sebahagian mangsa yang terkorban dalam tragedi terbabit adalah berusia 20an.
  3. Berhimpit ditempat yang sesak dan padat membuatkan ramai yang mengalami sesak nafas hingga mengalami serangan jantung. Menurut sumber, mereka cuba menolak satu sama lain untuk mencari ruang pengudaraan bagi bernafas. Seorang mangsa yang terselamat berkata, orang ramai jatuh menghempap sesama sendiri akibat ditolak. 
  4. Laporan terkini melaporkan 150 orang terkorban akibat rempuhan itu. Pihak berkuasa tempatan di sana menjangkakan angka itu akan terus meningkat. Ini kerana mangsa yang cedera dan kritikal yang sedang dirawat di hospital juga agak ramai. 
  5. Sekurang-kurangnya 19 warga asing turut terkorban dalam kejadian rempuhan tersebut, antaranya berasal dari Iran, Uzbekistan, Norway dan China. Kerajaan tempatan juga dilaporkan banyak menerima laporan kehilangan pelancong acing. 
  6. Ramai petugas keselamatan yang diarahkan ke lokasi tersebut terdiri daripada lebih kurang 1,100 polis, 517 bomba dan 70 petugas kerajaan. 

Tragedi rempuhan ini amat tragis dan menyayat hati. Pihak kami berharap agar semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

Penulis:- Fatimah