Ramai yang berhasrat untuk berkahwin tetapi khuatir tidak dapat keizinan dan restu daripada keluarga tercinta. Banyak faktor yang bermain di fikiran sehingga diri sendiri rasa tidak yakin untuk meneruskan perhubungan tersebut. Jangan begitu. Kebiasaannya, keluarga tidak memberi keizinan untuk anaknya berkahwin disebabkan atas faktor-faktor tertentu. Antaranya, faktor umur, kewangan, pengurusan diri sendiri dan banyak lagi.
Sebagai anak yang lebih mengenali keluarga sendiri, berusaha sehabis baik untuk menambat hati keluarga. Jika niat jelas untuk menghalalkan hubungan, insyaAllah semoga segala urusan dipermudahkan.
Berikut 5 tip yang kami dapat kongsikan bagi meyakinkan keluarga memberi keizinan untuk anda berkahwin:

1. Tunjukkan kematangan
Karakter seseorang memainkan peranan penting. Karakter menunjukkan kematangan seseorang tersebut untuk menggalas tanggungjawab, lagi pula bagi mereka yang berhasrat untuk berkahwin. Jika anda masih menunjukkan perangai kebudak-budakan, bagaimana untuk keluarga anda yakin yang anda telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami atau isteri?
Buktikan kepada keluarga yang anda telah berubah kearah lebih baik dan matang.
2. Biarlah berduit
Perkahwinan yang bakal dibina pada hakikatnya memerlukan banyak duit. Dari awal majlis pernikahan sehingga hendak memulakan kehidupan berumah tangga memerlukan duit.
Bagi lelaki mahupun perempuan, masing-masing perlu bertanggungjawab dan berusaha untuk mencari duit sendiri berbanding mengharapkan keluarga sendiri menaja perkahwinan yang ingin dibina. Buat bakal suami, kewajipan untuk menunaikan nafkah kepada isteri amatlah besar tanggung jawabnya.
Jika keadaan ekonomi masih tidak stabil, namun tidak berusaha sehabis baik untuk memantapkan ekonomi rumah tangga khuatir keluarga sendiri rasa bimbang untuk memberi keizinan untuk anda berkahwin.

3. Bawa si dia untuk berjumpa keluarga.
Berani untuk membawa dan memperkenalkan si dia kepada keluarga jika anda serius untuk berkahwin dengannya. Dari sini, keluarga akan bertambah yakin dari sekadar anda hanya bercakap sahaja nak kahwin, tetapi calon pasangannya tidak dibawa berjumpa kepada keluarga.
Cuba untuk membina keserasian antara bakal pasangan dengan keluarga pada awal pertemuan. Percayalah, jika keluarga anda menilai anda dan pasangan jenis yang pandai membawa diri, lagi cepatlah anda dan pasangan mendapat lampu hijau untuk berkahwin.

4. Buat perbentangan tentang perancangan masa depan.
Nak nampak lagi serius dan anda sungguh-sungguh hendak berkahwin? Beritahu dan bentangkan segala perancangan menguruskan urusan kahwin dari awal. Dari mula persiapan untuk menemukan kedua-dua belah pihak, urusan hantaran sehingga majlis berlangsung. Selitkan sekali perancangan anda dan pasangan selepas berkahwin. Contohnya, tempat tinggal, tempat kerja, waktu sesuai untuk pulang ke kampung berjumpa keluarga dan sebagainya.
5. Berdoa semoga keluarga berlembut hati.
Kuasa doa dengan meminta kepada-Nya semoga keluarga terutamanya emak dan ayah berlembut hati untuk memberi keizinan berkahwin. Bukan itu sahaja, doakan juga semoga segala urusan untuk menguruskan perjalanan majlis berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Tanpa restu daripada mereka pastinya perjalanan rumah tangga yang dibina tidak mendapat keberkatan dari-Nya.
All the best!
Penulis : Afifah
