Ramai sebenarnya sama ada secara langsung atau tidak langsung pernah ditolak cintanya atau mungkin pernah menolak cinta seseorang. Perit rasanya apabila cinta ditolak hanya tuan empunya badan sahaja yang rasa.

Bagi mereka yang pernah ada pengalaman menolak cinta seseorang, pastinya ada alasan tersendiri mengapa membuat keputusan untuk tidak menyambut cinta yang diberikan. Apa- apa pun setiap keputusan yang dilakukan perlu dipertimbangkan baik buruk yang bakal di terima.

Perkongsian artikel kali ini tentang kesan yang dirasai bagi mereka yang pernah ditolak cintanya berkali-kali. Semoga antara kita mendapat sesuatu dari perkongsian ini.

4 kesan jika di reject berkali-kali dalam perhubungan:

1. Boleh membawa kemurungan.
Tidak dinafikan ada sesetengah individu akan bersikap seperti tidak ada apa-apa yang berlaku sekiranya cintanya ditolak. Namun, bagi sesetengah individu boleh membawa kemurungan. Hal ini mungkin disebabkan individu tersebut terlalu meletakkan pengharapan yang terlalu tinggi bahawa cintanya akan disambut. Pada hakikatnya, apabila seseorang meluahkan rasa cinta kepada individu lain sepatutnya perlu menjangkakan bahawa kemungkinan cinta akan ditolak itu mempunyai peratusan yang tinggi. Sekiranya cinta disambut oleh si dia itu alhamdulillah, rezeki !

2. Mudah rasa marah.
Penolakan cinta yang berlaku menyebabkan emosi menjadi tidak stabil dan terganggu. Bahkan, ada sesetengah individu yang masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa cintanya ditolak akan berada dalam fasa denial yang sangat lama. Individu tersebut mudah marah bagi menunjukkan protes tentang perasaannya. Individu begini ada kemungkinan menjadi sangat tawar hati untuk membuka ruang hati kepada individu lain yang menagih cintanya.

3. Kurang keyakinan diri.
Tidak dinafikan, terdapat juga sesetengah individu terus merasa kurang yakin diri akibat penolakan cinta yang berlaku ke atas dirinya. Individu tersebut mula merasa dirinya tidak layak untuk mempunyai pasangan. Bertambah buruk lagi, apabila individu tersebut merasakan dirinya kurang harga diri kerana tidak diterima dalam perhubungan. Kesan daripada ini, ada kemungkinan individu tersebut akan kerap menyalahkan diri atas kegagalan perhubungan yang berlaku.


4. Putus asa dalam mencari pasangan.

Apabila cinta ditolak berkali-kali setelah berusaha sehabis baik untuk menambat hati pasangan menemui kegagalan di tengah jalan menyebabkan seseorang individu itu putus harapan untuk meneruskan perjuangan mencari calon pasangan lain. Baginya, cukup sampai di situ sahaja usaha yang dilakukan kerana takut akan dikecewakan sekali lagi oleh insan lain.

Oleh itu, seandainya anda yang membaca artikel ini kerap kali ditolak cintanya, pesanan dari kami semoga anda terus kekal semangat dan berusaha untuk sayangi diri anda. Percayalah, pasti akan hadir insan yang tepat pada masa yang tepat yang ditakdirkan untuk anda.

Semoga terus semangat ya!

Penulis : Afifah