Kehidupan selepas perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya memerlukan komunikasi antara 2 orang iaitu suami dan isteri. Anda akan hidup lebih lama dengan pasangan anda sehingga hujung nyawa dan akan menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan dalam rumah tangga. Tetapi, mampukah untuk anda harungi bersama?
Banyak juga kita lihat, dalam kalangan orang muda yang gagal dalam rumah tangga. Kahwin kadang tak sampai setahun pun boleh bercerai-berai. Puncanya, pasangan masih belum matang untuk mengawal sebuah keluarga baru dan masih melebihkan keluarga sendiri. Apa-apa keputusan atau pandangan banyak merujuk kepada keluarga berbanding pasangan sendiri. Kadang-kadang perkara kecil pun boleh jadi punca pergaduhan dan menjadi satu hal yang besar.

Antara sebab perkara ini boleh berlaku ialah pasangan itu tidak mempunyai ilmu dalam rumah tangga serta sering meninggalkan solat. Tidak pernah mengajak isteri untuk solat bersama apatah lagi untuk mengaji. Kita sendiri tahu apabila kita tidak menjaga solat dan tinggalkan dengan sengaja, Allah akan tarik nikmat yang ada pada diri kita dengan secepatnya dan membuatkan kehidupan kita jadi tidak tentu arah.
Jadi, untuk anda yang ingin berkahwin tidak kira muda atau tua, perlu ada ilmu. Ilmu perkahwinan ini sangat penting dan itu sebab wajib untuk anda hadiri kursus pra perkahwinan sebelum masuk ke alam perkahwinan. Ambil tahu setiap perkara dari menjaga isteri sehingga keluarga. Dan perbaiki diri dulu sebelum berkahwin. Kalau anda masih belum sempurna untuk menjaga solat, perbaiki dari sekarang dan perlahan-lahan untuk jaga solat semula. Kalau dulu tidak jaga solat, kita tidak akan pernah rasa cukup dengan rezeki yang ada tetapi apabila kita dah mula menjaga solat, rezeki akan melimpah ruah dan sentiasa rasa cukup dan keluarga kecil anda pun akan sentiasa bahagia.
Penulis : Izzah.
