Kalau dah sayang, semuanya sanggup untuk menerima diri pasangan seadanya walaupun sudah tahu perangainya yang narsisistik tersebut.
Apakah itu narsisistik?
Mungkin ada dalam kalangan pembaca baru pertama kali mendengar perkataan narsisistik ini. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, narsisistik ini merujuk kepada seseorang yang cenderung memuja atau mengagumi diri sendiri dengan berlebihan.

Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan mungkin anda mahupun pasangan anda seorang yang narsisistik:
1. Ugutan.
Ugutan demi ugutan yang dilakukan bertujuan untuk menakut-nakutkan pasangan.
Contohnya, “Kalau awak tak datang sini, saya janji awak memang tak akan dapat jumpa saya lagi sampai bila-bila. Jangan haraplah awak akan dapat cari saya.”

2. Si dia sahaja yang betul.
Setiap apa yang diucapkan si dia jelas menunjukkan hanya si dia sahaja yang betul, manakala setiap apa yang diperkatakan oleh diri kita semuanya adalah salah.
Contohnya, “Saya dah beritahu awak dah, jangan buat macam ini. Tengok apa dah jadi? Kalau awak ikut awal-awal apa yang saya cakap ni, semua ini tak akan berlaku.”
3. Tiada rasa empati.
Jelas kelihatan apabila si dia tidak akan ada langsung rasa simpati dalam diri terhadap pasangan. Apabila kerap merasakan diri betul dan tidak mungkin diri akan membuat silap, si dia akan merasakan dirinya ‘besar’. Segala rasa dan perasaan pasangan tidak bernilai.
Contohnya, “Alah biasalah tu rasa sedih sikit-sikit tu normal. Sudah, tak payah nak emo sangat. Salahnya dari awak juga. Cubalah lain kali tu berhati-hati sikit. Ini menyusahkan orang lain.”
4. Rasa diri berhak ke atas semua perkara.
Pada hakikatnya, secara dasar boleh dapat dinilai tidak ada hak pun sebenarnya ke atas dirinya. Tetapi si dia menetapkan untuk dengar dan mengikuti segala arahan si dia.
Contohnya, “Sekarang ni masalahnya nak tolong ke tidak? Lain kali ikut sahaja arahan. Jangan banyak soal!”

5. Merendahkan harga diri.
Apabila si dia merendahkan diri pasangan, secara tidak langsung si dia merasakan diri si dia itu tinggi. Dengan cara ini, dia berjaya untuk mengawal diri anda dan keadaan.
Contohnya, “Kalau saya tak tolong hari itu, mesti awak gagal. Nasib baik saya tolong tau. Terima kasih sikit pada saya yang tolong awak ni.”

Berada dalam perhubungan dengan seseorang yang bersikap narsisistik ini pastinya menjerumus diri kepada perhubungan yang toksik. Percayalah, anda tidak akan bahagia dengan pasangan yang bersikap begini.
Jika anda berada dalam perhubungan ini, mungkin anda boleh duduk dan fikir sekali lagi untuk teruskan atau memutuskan hubungan dengan segera.
Sayangi diri anda ya!
Penulis : Afifah.